Wednesday 10 April 2013

Kerana seorang insan bernama UMI ~

Aku hairan. Mengapa manusia sukar sekali bersyukur? Mengapa? Jika ditanya hal itu kepadaku, akan ku segera jawab "Aku khilaf. Aku lupa pada nikmat dunia." Mereka acap kali mengeluh dengan kesusahan yang dihadapi meski sekecil daun kurma. Bertambah aku hairan. Maka, aku teringat semasa aku masih dibangku sekolah.

********************************************************

Aku berjaya mendapat 5A semasa UPSR. Aku melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah agama. Akibat jarak yang hampir dengan rumah, aku tinggal di rumah sahaja. Pelajaranku menarik. Bahasa Arab. Aku amat meminati kesusasteraan. Aku merupakan anak bongsu. Agak rapat dengan umi.
Umi bangga denganku. Terima kasih umi. Walaupun cikgu memandang rendah aku di sekolah, ku buktikan bahawa mereka salah. Aku juga mampu lakukan.

Aku memasuki kelas itu buat pertama kalinya. Tiada siapa yang aku kenal. Tiada. Sahabat susah senangku meninggalkan aku kerana melanjutkan pelajaran di sekolah cina. Mungkin anti ingin mempelajari Bahasa Mandarin. Tidak mengapa. Aku dengan Bahasa Arab. Kita sama sahabat ! Pelajar muslimah semua bertudung litup. Yang muslim siap segak bersongkok. Muka yang suci bersih. Dengan rendah diri, aku duduk di tepi tingkap. 

"Bahasa Arab adalah bahasa yang paling sukar dipelajari di dunia. Jika ada huruf alif, maknanya lelaki. Jika tiada alif, lain maksudnya." kata ustazah. Aku tidak menjadikan itu sebagai halangan.

Apa yang aku lakukan adalah kerana umi. Ya! Umi! Sungguh banyak penderitaan yang umi tanggung. Abi dikhabarkan ingin bernikah lain dengan wanita Indonesia. Wang banyak dihabiskan kerana perempuan itu. Sehingga aku benci semua perkara yang melibatkan Indonesia. Pernah suatu hari, umi tidak makan langsung. Umi masak bubur untuk kami adik beradik. Kerana kecil, kami tidak menyisakan sedikit pun bubur untuk umi. Umi sekadar menyuapkan bubur ke mulutku. Tidak sesuap pun ke mulutnya.
Kenapa bubur?
Aku merasa pelik. Umi menangis sambil mencuci periuk dan mangkuk-mangkuk bekas kami makan tadi sambil memegang perutnya. Umi tak makan kah?
Umi melihat ke dalam bekas beras sambil air matanya kian lebat membasahi lantai dapur. Dek kerana tubuh yang kecil, umi tidak melihatku berselindung di balik tirai.
Selepas umi berlalu, aku memeriksa kembali bekas beras. Subhanallah! Alangkah terkejutnya aku. Tiada sebutir beras pun! 
Lantas, aku mendekati umi.

"Umi tak makan ke?"

"Umi tak lapar, sayang." Dengan seyuman penuh kepura-puraannya. Aku benci pada senyuman itu. Masih segar diingatanku.
Umi tipu. 

"Kenapa anti termenung jauh ni? Jom pergi PJ!", sapa Aisyah. Kawan yang duduk sebelahku.

"Maaf. Jom!",balasku.

"Kita salin pakaian kat tandas dulu nak? Anti ada bawa pakaian kan?"

"Ada. Ada. Tafaddolu.",aku mempelawanya.

Ketika PJ, ada seorang pengawas menegurku. Bajuku di paras separa lengan. Pakaian seperti ini diharamkan di sekolah ini.

"Amboi anti. Lawa baju. Nak pergi PJ ke shopping?"

Hanya senyuman menjadi balasan teguran itu. Dengan segera aku berlalu bersama Aisyah. Aku pun tidak ingin memakai seperti ini. Membuka aurat ketika dalam madrasah. Malu! Ya. Itu adalah perkataan yang sesuai. Baju yang aku pakai ada sulaman di tangan. Bukan bajuku! Bukan! Jerit hatiku.

Ada seorang muslimah datang ke rumah. Cantik. Kulitnya mulus. Dia membawa seplastik besar bersamanya. Umi dan adik beradik aku berkumpul di ruang tamu. Kami berteka teki sesama sendiri apakah yang di bawa muslimah itu. Abi sudah sebulan tidak pulang.

"Muslimah itu teman sekerja umi. Dia pembekal kepada umi."
Bisik umi. Umi menjadi penjual zhulian. Pendapatan yang tidak seberapa hanya cukup untuk makan sahaja.

"Ukhti, ni ana bawakkan baju untuk ukhti sekeluarga. Pakaian ni kami tidak pakai lagi. Dah kecil.", kata muslimah itu. Barulah kami tahu bahawa pakaian yang dibungkus di dalam plastik itu.
Kami tersenyum bahagia. Kerana kami sememangnya memerlukan pakaian. Pakaian yang lusuh harus di ganti. Muslimah itu berasal dari keluarga yang agak mewah. Lihat sahaja kereta Honda Vios silver yang dipandunya. Aku kagum dengannya kerana harta dunia dikejar namun tidak dilupa bekalan untuk akhirat.
Alhamdulillah~ masih ada manusia seperti muslimah ini.

Pakaian itulah yang dipakaiku ketika PJ. Aku tidak punya baju lain. Sedang pelajar lain sibuk membuat senaman, aku hanya duduk di tepi kerana tidak dibenarkan turut serta oleh muallim untuk bersenam bersama mereka kerana pakaian yang tidak menutup aurat dan tidak sesuai. Hati kecilku menangis. Kerana itulah aku tidak sukakan PJ.

"Umi.........." seandainya umi mengerti.

"Umi tak punya duit. Umi minta maaf ya binti."

Respon umi ketika aku minta ingin menghadiri kelas tambahan. Semua muslim dan muslimat mendaftar untuk kelas tuisyen. PMR bakal menjelang. Hanya aku sahaja yang tidak berjaya mendaftar. Maaf guru. Sepanjang 3 tahun aku di sekolah agama ini, guru-guru banyak mengecamku kerana aku sering tidak menyertai aktiviti sekolah. Yuran yang harus di bayar. Aduh ! 
Tuisyen...aku ingin sekali. Umi.....ana ingin sekali umi. Cemburunya di hati tatkala melihat rakan-rakan menghadiri kelas tambahan. Mereka belajar lebih dalam lagi selain di dalam kelas. Yuran yang berharga RM150 sebulan bukan satu harga yang umi sanggup bayar. Terlalu mahal!

Pernah suatu hari, aku tidak tahan rasa dihati ingin turut serta bersama mereka, aku duduk di balkoni luar kelas dan mendengar sebutir-sebutir penjelasan guru. Alhamdulillah, aku faham. Aku tidak sekali pun memandang ke dalam kelas kerana takut terbongkar rahsia aku menyelinap dengar. Namun, setelah beberapa kali perbuatan itu aku ulang, akhirnya perbuatanku terbongkar. 

Pengetua memanggilku dan aku tidak dibenarkan berada di sekitar kelas pada waktu petang. Sekiranya aku melanggar, aku akan digantung. Umi tidak tahu. Maaf umi. Salahkah aku ingin menuntut ilmu? Adakah kerana aku tidak berkemampuan aku dikecualikan?

Pada satu solat, tanpa aku sedari, air mataku menitis deras.

"Aku lemah tanpaMu,Allah. Sungguh berat ujian ini. Kau ringankanlah bebanan di bahuku ini. Aku tidak mahu umi terus sengsara Ya Allah. Pulangkanlah abi ke pangkuan kami. Aku mohon kepadaMu,Allah. Allah................"

Usai berdoa, aku terus sujud dan terlelap. Terlelap di atas sejadah dan dibasahi air mata. 

"Sesungguhnya kesakitan itu adalah penghapus dosa kecil."

"Kita seharusnya merasa gelisah sekiranya tidak diuji kerana ujian itu adalah rahmat dari Allah."

Ketika aku menghadapi PMR, aku dikejutkan dengan berita umi dimasukkan ke hospital. Kakak memberitahu ringkas kepadaku bahawa umi jatuh dari tangga ketika ingin membersihkan kipas di dalam bilikku.

"Umi........tunggu ana. Ana nak habis exam dah ni."

Oleh kerana PMR berlangsung, semua pelajar tidak dibenarkan meninggalkan asrama. Termasuklah aku. Di dalam hati, cuma umi. Umi dan terus umi.

Tidak tenang rasanya menjawab soalan. 

"Umi nak anti buat yang terbaik dalam PMR ni ya. Umi percayakan anti. Seperti yang anti lakukan semasa UPSR. Sejarah itu anti ulang buat umi ya?"

Harapan umi. Baik umi. Kakak segera menjemputku di asrama selepas kertas terakhir selesai. Alhamdulillah~
Dengan wajah yang gembira untuk bertemu umi, aku lajukan langkah. Kakak hanya memberitahu di mana umi ditempatkan sahaja. Kakak ingin ke kantin katanya. Dari semalam tidak mengisi perut. Tiba di wad umi, beberapa nurse dan doktor mengelilingi katil umi. Ada apa?

"Anak Puan Sarah?", tanya doktor.

Aku anggukkan sahaja.

"Maaf."

Sepatah kata doktor itu membawa seribu makna buatku.

"Ibu adik telah pulang ke Rahmatullah. Harap adik bersabar. Pendarahan di kepalanya sukar untuk kami menyelamatkan ibu adik. Ada kakak atau abang?"

***********************************************************

Tiada kata mampu aku ungkapkan. Tiada kata mampu menggambarkan perasaanku ketika itu. Kepedihan saat kehilangan umi masih terasa. Kini, aku bergelar seorang penterjemah Bahasa Arab untuk salah sebuah syarikat buku-buku ilmiah. Umi, jasamu tidak akan aku lupa. Hanya satu ayat yang belum sempat aku ucapkan padamu umi.

"Ana sayang Umi selamanya."

No comments:

Post a Comment